Monday, March 21, 2011

TATABAHASA

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BINA AYAT

1. Boleh bina ayat tunggal.
2. Boleh bina ayat majmuk.
3. Boleh bina ayat aktif.
4. Boleh bina ayat pasif.
5. Boleh bina ayat cakap ajuk tetapi perlu mematuhi peraturan
tanda baca (tanda petik).

Pelajar dilarang :
1. Menambah atau menggugurkan imbuhan.
2. Jadikan perkataan diuji sebagai kata nama khas.
3. Jadikan perkataan diuji sebagai peribahasa.
4. Membina ayat yang tidak jelas/ tidak difahami maksud.


Contoh soalan dan jawaban:

(i) Suka duka.

Ketika bertugas di kawasan pedalaman itu, saya terpaksa menempuh pelbagai suka duka sebelum saya berjaya membawa kejayaan untuk sekolah dan penduduk di kawasan itu. ( Ayat Majmuk )

(ii) Baik buruk.

Kejadian kesan buruk yang tidak disedari atau tidak dilaporkan akan hanya memberikan gambaran yang tidak tepat tentang baik buruk sesuatu ubat itu. ( Ayat Majmuk )

(iii) Penat lelah

Segala penat lelah beliau terbayar apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu. ( Ayat Majmuk )

(iv) Melayari laman web

Pelajar-pelajar digalakkan supaya melayari laman web Kementerian Pngajian Tinggi untuk mendapatkan maklumat tentang kemasukan ke Institsui Pengajian Tinggi Awam (IPTA). ( Ayat Majmuk )

(v) Pembangunan mesra alam

Kerajaan akan memastikan bahawa setiap pemaju perumahan mestilah mengutamakan pembangunan mesra alam untuk mengelakkan pencemaran dan kejadian tanah runtuh yang semakin berleluasa.

( Ayat Majmuk )


(vi) Semangat setia kawan

Walaupun kita terpaksa bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan itu, semangat setia kawan dan persahabatan perlulah dipelihara.

( Ayat Majmuk )

KESAN AYAT TIDAK GRAMATIS

Soalan 2 (a), 2(b), 2(c) dan 2(d).

Kesilapan calon ketika menjawab soalan pemahaman.
1. Isi jawaban dalam bentuk nota.
2. Ayat tidak lengkap kerana tiada subjek.

Sebab-sebab berlakunya kesilapan :
1. Pelajar degil dan cuai walaupun telah diberi ingatan.
2. Tidak belajar merancang masa untuk menjawab soalan.
3. Terikut-ikut dengan gaya penulisan dalam buku kerja pelajar.

Kesan kesilapan:
Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.
KK : Nyatakan.

Jawaban contoh :
-Pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an.
-Melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas
-Pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

Isi betul - 3
Ayat tidak gramatis
Markah : 2
Pelajar hilang 1 markah.

Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

Jawaban contoh :
- Persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai angkasawan.

- Cari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini.

- Persediaan mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Isi betul : 4 ( 2 isi dan 2 huraian )
Ayat tidak gramatis
Markah : 3
Pelajar hilang 1 markah.

Andaian :
Pelajar yang sama biasanya akan mengulangi setiap jawaban dengan cara memberi isi berbentuk nota ringkas. Pelajar mungkin akan kehilangan antara 6 hingga 8 markah untuk soalan 2(a) hingga 2(d) jika diandaikan pelajar ini dapat memberi isi dan huraian yang tepat tetapi ayat tidak gramatis.

Maka :
1. Jawab dalam bentuk ayat yang gramatis.
2. Ayat gramatis mempunyai subjek.
3. Subjek jawaban diperoleh daripada predikat soalan.
4. Gandingkan predikat soalan dengan isi jawaban lengkap.
5. Ayat gramatis boleh terdiri daripada ayat tunggal atau ayat
majmuk.

ikhsan : cikgu zaki


SINOPSIS:-

Ceper ialah sebatang sungai yang menjadi sumber air bagi penduduk kampung dan pedalaman. Penulis (Shahnon Ahmad cuba membandingkan Sungai Ceper dengan ibu yang gigih bekerja di sawah, sementara suaminya (bapa penulis) asyik dengan burung ketitir.

Kesulitan hidup yang ditempuhi ibunya digambarkan melalui liku-liku dan keadaan sungai yang semakin tercemar. Kian hari Sungai Ceper semakin lemah dan tohor akibat pelbagai sampah yang dibuang ke dalam sungai.

Pada suatu hari ibu telah terpijak tunggul lama menyebabkan dia tidak selincah seperti dulu. Ibu yang menjadi lumpuh, semakin uzur dan akhirnya meninggal dunia.

Penulis akhirnya membandingkan Sungai Ceper walaupun masih ada namun sudah tidak berfungsi seperti dulu, iaiti sebagai sumber air kepada penduduk sedangkan ibu sudah meninggal lama sebelum bapa meninggal dunia.

TEMA:-

Kepentingan air dalam kehidupan.

PERSOALAN:-

  • Kesukaran hidup apabila sungai tercemar.
  • Setiap yang hidup akan mati.
  • Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua orang tuanya.
  • Menghargai anugerah Allah.

WATAK & PERWATAKAN:-

a. Ibu

  • Seorang yang rajin.
  • Pandai membuat tikar.
  • Bergaul dengan masyarakat.
  • Mengamuk apabila Sungai Ceper tercemar dan berlaku banjir yang akhirnya merosakkan tanamannya.

b. Bapa

  • Suka mendenak burung ketitir.
  • Meninggal dunia kerana terjatuh.

c. Aku

  • Menggantikan ibu ke sawah setelah ibu lumpuh.
  • Bertanggungjawab menjaga ibu.

PANTUN EMPAT KERAT (BUDI) (MALAY POEM ANALYSIS)

Pantun tergolong dalam genre puisi tradisional. Bentuk pantun yang paling luas digunakan ialah pantun empat kerat. Dua baris pertama mewakili pembayang maksud yang bertemakan unsur alam atau kerenah manusia. Dua baris akhir mewakili maksud sebenar yang hendak disampaikan.

Antologi "Harga Remaja", iaitu teks komsas tingkatan 4 menampilkan dua nukilan pantun empat kerat yang bertemakan budi dan jenaka. Pantun Budi diselenggarakan oleh Dr. Anwar Ridhuan (halaman 5) mengandungi 4 rangkap. Pantun Jenaka (halaman 6) pula diselenggarakan oleh Dr. Harun Mat Piah mengandungi lima rangkap.

Pantun Budi menceritakan perihal budi yang baik bakal diingati orang. Selain itu, budi yang baik akan menjadi sebutan orang sepanjang masa. Pada keseluruhannya, budi dikaitkan dengan nama baik seseorang.


Rangkap 1: Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput,
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Jelas sekali bahawa pemantun mahu dirinya dikenang dengan sebutan nama baik, iaitu budi.

Rangkap 2: Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama,
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggakan nama.
.
Sekali lagi penegasan tentang nama baik seseorang dibawa hingga ke mati. Budi yang di tabur oleh si mati akan tetap menjadi sebutan.

Rangkap 3: Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan,
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Budi, tidak kira sedikit atau banyak tidak akan hilang atau luput daripada kenang-kenangan orang yang pernah menerima budi.

Rangkap 4: Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun,
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

Budi dikaitkan dengan kasih sayang. Orang yang menerima budi menganggap dirinya berhutang seribu tahun. Maknanya, hutang budi dikenang sepanjang hayat dan dibawa ke mati.


Tugasan:

a) Berikan maksud resam di dunia. (1 markah)

b) Nyatakan tiga kepentingan budi yang baik terhadap seseorang. (3 markah)

c) Jelaskan dua cara anda membalas budi baik seseorang. (4 markah)


Analisis Tugasan Soalan:

a) Soalan petikan: memerlukan jawapan ringkas tanpa huraian.

b) Soalan petikan: Ambilan isi petikan, tetapi perlu diprosakan mengikut ayat penyata.

c) Soalan KBKK: Isi luar petikan, perlu penjelasan tentang dua cara.


Cadangan Jawapan:

a) Maksudnya ialah adat kehidupan.


b) Kepentingan budi yang baik ialah menjadi kenangan orang lain, disebut hingga ke mati, dan
dianggap sebagai hutang oleh si penerima budi.

c) Saya akan membalas budi seseorang dengan cara mengucapkan terima kasih supaya dia
berasa dihargai. Selain itu, saya akan berdoa agar orang berkenaan dipanjangkan umur
dan dimurahkan rezeki.

ikhsan: cikgu azhar rodzi

Kerja Kursus Sejarah PMR 2011

Kepada semua murid tingkatan 3 SMK Convent Father Barre:

Sila bawa semua bahan sumber yang diperoleh pada waktu P&P Sejarah ( 1 masa)
Cikgu akan membimbing anda semua untuk menghasilkan kerja kursus yang betul sehingga mendapat markah cemerlang.