Sunday, February 10, 2013

Latihan Syair

Latihan kesusasteraan melayu...sila siapkan sebelum sek dibuka minggu depan.

Latihan Puisi Tradisional : Syair

1. Syair Si Burung Nuri Satu

Di Gunung Puteri akan tempatnya,
Dari udara konon asal mulanya,
Terlalu harun akan baunya,
Tiada menyamai pada zamannya.

Elok manis indah rupanya,
Terlalu halus barang katanya,
Sangatlah bijak akan akalnya,
Dalam istana sukar bandingnya.

a) Nyatakan dua unsur bunyi berserta contoh berdasarkan petikan syair di atas. (4 markah)

2. Syair Si Burung Nuri Dua

Serta Nuri mendengar begitu,
Mukanya manis lakunya tentu,
Di dalam hatinya menjadi satu,
Di mana gerangan mudah yang tentu.

Lalu beradu Nuri bangsawan,
Ditunggui pulak dengan Si Bayan,
Tiadalah sedap tidur dan makan,
Badan terhandar dalam halaman.

a) Berikan maksud anafora dan berikan satu contoh berdasarkan petikan di atas. (2 markah)
b) Nyatakan dua gambaran watak Nuri. (2 markah)

3. Syair Si Burung Nuri Tiga

Lalu bersyair Si Bunga Cina,
Janganlah kita dapat bencana,
Ayuh cempaka yang bijaksana,
Fikirlah juga dengan sempurna.

a) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam puisi di atas. (2 markah)
b) Nyatakan dua ciri puisi di atas. (2 markah)

4. Syair Si Burung Nuri Empat

Setelah sudah berkata-kata,
Lalu terbanglah Nuri Gempita,
Demi bertemu Si Burung Dewata,
Berjabat tangan duduk beserta.

Burung Dewata yang bijaksana,
Ia bertanya dengan sempurna,
Tuanku datanglah dari mana,
Apakah maksud muda teruna.

i. Apakah jenis puisi di atas? (1 m)
ii. Berikan TIGA alasan mengapa anda berkata demikian. (3 m)

5. Syair Pentingnya Menjaga Hubungan Keluarga dan Persahabatan

Keluasan panjang sinar dan silam,
Keadaan bertambah zahir tak kelam,
Fakir dan syukur hati di dalam,
Ke hadrat al-A’la Khaliq al-Alam.

Mudah-mudahan bertambah masih,
Akal dan ilmu bicara yang bersih,
Mukim berikat dengan kasih,
Tiada mardhan cerai berselisih.

i. Apakah DUA nilai yang terdapat dalam syair di atas? (2m)
ii. Berikan SATU gaya bahasa yang terdapat dalam syair tersebut beserta contohnya sekali. (2 m)