Sunday, May 23, 2010

Contoh Karangan Bahan Rangsangan

CONTOH KARANGAN
Usaha-usaha memajukan industri desa
Pada masa ini industri desa semakin berkembang di negara kita. Pelbagai produk industri desa telah dipasarkan untuk keperluan masyarakat. Untuk memajukan lagi industri desa, pelbagai usaha perlu dijalankan dengan kerjasama semua pihak.
Usaha pertama yang boleh dilakukan ialah kerajaan memberikan bantuan dan galakan
kepada mereka yang berminat. Bantuan dan galakan yang berterusan penting terutama kepada
pengusaha yang baru sahaja menjalankan sesuatu industri desa. Kerajaan boleh memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat secara berterusan. Sebagai contoh, kerajaan perlu banyak mengadakan kursus yang berkaitan industri desa seperti batik, kraftangan dan makanan tradisional. Peranan kerajaan penting agar industri desa terus berkembang maju di negara kita.
Selain itu, penggunaan alat-alat teknologi moden penting untuk meningkatkan keluaran dan kualiti industri desa. Penghasilan produk industri desa yang semakin meningkat dan berkualiti penting untuk mewujudkan daya saing. Pihak yang terlibat perlu mengadakan kursus tentang cara menggunakan peralatan mesin dan jentera. Sebagai contoh, penggunaan mesin penting untuk menghasilkan produk industri desa yang berkaitan dengan pembuatan makanan tradisional. Jelas bahawa penggunaan alat teknologi moden, akan menarik lebih ramai lagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam industri desa.
Untuk memajukan lagi industri desa kerajaan boleh memperkenalkan konsep”Satu
Daerah Satu Produk”. Melalui cara ini, setiap kampung perlu menghasilkan sesuatu produk dan
memasarkan sendiri barangan mereka. Dalam hal ini, mereka perlu diberikan bimbingan,latihan dan cara-cara untuk memulakan sesuatu industri desa. Sebagai contoh, kerajaan negeri Melaka telah memperkenalkan rancangan ”Satu Daerah, Satu Industri”. Sesungguhnya, setiap kerajaan negeri boleh mencontohi usaha tersebut untuk mengembangkan ekonomi masyarakat khususnya di luar bandar.
Seterusnya, kerjasama semua pihak penting untuk memasarkan keluaran industri desa. Keluaran industri desa yang unik serta berkualiti mampu menarik perhatian masyarakat luar. Pameran-pameran perlu diadakan dengan lebih kerap untuk memperkenalkan lagi keluaran industri desa kepada masyarakat. Sebagai contoh, pihak swasta seperti TV3 boleh membantu memperkenalkan industri desa melalui program Jom Heboh.
Kesimpulannya, masyarakat yang menjalankan industri desa perlulah merebut peluang sepenuhnya yang disediakan oleh kerajaan. Mereka perlulah meningkatkan ilmu serta kemahiran bagi menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Kita amat berharap agar industri desa yang dijalankan di negara kita terus seiring dengan kemajuan Negara.

CONTOH KARANGAN
Tajuk : Sebab-sebab memilih Malaysia sebagai tempat / destinasi pelancongan.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistemewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar dan dalam memilih Negara kita sebagai destinasi pelancongan. Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia memilih untuk melancong di Negara sendiri.
Antara sebabnya ialah keindahan alam semulajadi yang menarik terdapat di Negara ini. Malaysia mempunyai hutan yang menarik dan dipenuhi dengan flora dan fauna. Tempat-tempat ini boleh menenangkan fikiran seseorang contohnya Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di Sarawak dan lain-lain. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.
Di Malaysia juga terdapat banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati contohnya negeri Melaka. Terdapat bangunan-bangunan bersejarah seperti Kota A.Famosa, tugu-tugu lama peninggalan penjajah, Muzium Negara dan lain-lain. Dengan melancong, seseorang itu juga dapat menambah ilmu pengetahuan.
Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik. Di Pantai dan di Pulau membolehkan seseorang pelancong itu menghilangkan tekanan dan mendapat hiburan. Rakyat Malaysia yang melancong bersama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Sebagai contoh Pulau Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Port Dickson, Desaru, Kota Tinggi dan lain-lain.
Malaysia juga popular dengan pusat-pusat beli-belah yang terkenal. Contohnya Mega Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit, Alamanda, Mid-Valley dan lain-lain. Barangan yang dijual setanding dengan luar negara. Selain itu terdapat juga pelbagai kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata. Pelancong sangat suka barangan Kraftangan Malaysia kerana menarik dan harganya murah. Pada setiap tahun, diadakan promosi harga barangan dan jualan mega. Oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu melancong ke luar Negara kerana Malaysia mempunyai segala-galanya.
Kesimpulannya, melancong di Malaysia banyak mendapat kebaikan dan dapat
memajukan sektor pelancongan Negara.

CONTOH KARANGAN
Langkah memajukan sukan Negara
Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One ,Le Tour De Langkawi,Sukan komenwell dan sebagainya.Pecapaian Malaysia sebagai penganjur tidak dapat dinafikan kehebatannya. Walakin begitu, pencapaian Malaysia sebagai peserta amatlah mengecewakan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk memajukan sukan negara.
Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa depan kepada mereka. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan mereka. Terutama peluang pekerjaan jika berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu, elaun dan pencen harus diberikan kepada mereka yang bergiat aktif dalam mewakili Malaysia, tidak kira sama ada atlet tersebut menang ataupun kalah. Di samping itu, suatu organisasi harus ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.
Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet, pendedahan haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di setiap daerah atau di setiap negeri. Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah rendah. Di sekolah tersebut, kelengkapan sukan haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik pernafasan yang betul diajar selain teknik menguasai permainan sukan yang dipilih. Subjek sukan dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran lain. Oleh itu, pelajar tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.
Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti kesukanan haruslah diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai ganjaran. Selain itu, perlawanan persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah haruslah ditingkatkan untuk mencungkil bakal terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi pelapis atlet yang sedia ada. Sementelahan, kemudahan untuk sukan dan peruntukan untuk membeli peralatan sukan haruslah disediakan selain galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.
Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negara kita. Pihak Kerajaan haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara. Semua pihak termasuklah ibu bapa seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak- anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan. Majulah sukan untuk negara.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment